Sunday, January 9, 2011

::Mentor Saya::

Ingin saya kongsi pengalaman MENTOR saya, ED Norlia.


"KEGAWATAN ekonomi melanda negara dan seluruh dunia pada 1997 lalu turut memberi kesan mendalam kepada keluarga saya.

"Masa itu, perniagaan suami terjejas teruk dan kami terpaksa menjual semua harta benda yang ada termasuk rumah dan kereta.

"Ia turut menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berpindah-randah dan persekolahan anak-anak terjejas," demikian luah Norlia Ismail, 52.

Norlia berkata, kehidupan keluarganya ketika itu sangat susah kerana mereka sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan suami manakala dia tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja secara tetap.

Norlia tidak pernah bekerja tetap dan status ibu kepada enam anak sedikit sebanyak menjadi halangan untuknya mencari pekerjaan.

Suaminya, Ismail Ali, 63, ketika itu juga sudah berumur dan dia menyedari tugas menyara keluarga kini terpikul di bahunya.

"Semua perniagaan kecil-kecilan saya lakukan termasuk mengambil upah menjahit baju. Memang kehidupan pada waktu itu sangat mencabar kerana kami sekeluarga terpaksa mengikat perut untuk berjimat-cermat.

"Lebih menyedihkan, kesusahan kami pada waktu itu turut menyebabkan anak terpaksa berhenti sekolah serta tuisyen selama enam bulan. "Ada seorang guru tuisyen yang baik hati membantu mengajar anak meskipun tanpa bayaran. Paling saya tidak percaya, walaupun tidak bersekolah selama enam bulan, apabila kembali ke sekolah, dia masih mampu mendapat tempat pertama," katanya dengan linangan air mata.

Kata anak jati Seberang Prai, Pulau Pinang itu lagi, dia pernah menyediakan hidangan nasi goreng kosong untuk enam anaknya nikmati dari pagi hingga ke malam kerana pada waktu itu, kehidupan mereka tidak senang seperti sekarang.

"Mujurlah anak-anak tidak merungut malah menikmati apa saja yang disediakan. Tapi saya tahu, jauh di sudut hati, mereka mahu merasai makanan yang enak juga sesekali.

"Ia membuka mata saya untuk berusaha keras mengubah nasib keluarga.

"Tanpa dirancang, seorang rakan memperkenalkan kepada perniagaan Tupperware. Pada mulanya saya hanya membeli untuk kegunaan sendiri saja tetapi melihatkan minat yang ditunjukkan rakan, saya menjadi ahli dan menjual secara kecil-kecilan," katanya.

Menurut Norlia, dia bermula sebagai ahli di bawah seliaan mentornya, Julia Gomes.

Kata Norlia, dia masih ingat lagi kata-kata semangat daripada mentornya bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai asalkan ada usaha serta tekad yang tinggi.

Untuk itu, dia mula merangka strategi jualan dan bermula dengan memperkenalkan kepada saudara-mara serta rakan terdekat terlebih dulu.

Norlia juga terpaksa menebalkan muka meminjam barangan Tupperware daripada kawan-kawan untuk ditunjukkan kepada pelanggan kerana tidak mempunyai stok yang banyak.

Setiap kali menerima pesanan daripada pelanggan, dia akan berulang-alik dari pejabat Tupperware di Kuala Lumpur ke seluruh negara dengan hanya menaiki bas.

"Jika tempahan banyak, saya meminta bantuan suami atau anak. Merekalah yang membantu membawa semua barangan yang dipesan menaiki bas sama ada ke sekitar Selangor, Perak dan Pahang.

"Memang saya akui, waktu itu memang susah untuk mendapat komisen yang tinggi dan pernah sekali saya hanya dapat cek komisen sebanyak RM2 saja.

"Tetapi saya tidak jadikan itu semua sebagai alasan untuk berputus asa kerana saya sendiri yakin dengan kualiti produk dan perniagaan Tupperware," katanya.

Hasil kegigihan wanita ini, ia mula menampakkan hasil apabila pada 1999, dia dinaikkan pangkat kepada pelatih.

Norlia pula berasa dialah pelatih paling selekeh ketika itu kerana tidak mampu bergaya dengan pakaian baru lantaran kekangan sumber kewangan.

Daripada situ, Norlia terus berusaha keras menjual produk berkenaan dan pada masa sama, merekrut ahli baru di bawah seliaannya.

"Kini, selepas lebih 13 tahun, saya mampu berpuas hati kerana penat lelah nyata berbaloi apabila dipilih memegang jawatan pengarah eksekutif yang diidamkan selama ini.

"Bukan itu saja, taraf kehidupan kami sekeluarga juga sudah jauh berubah.

"Saya amat bersyukur kerana dengan hasil jualan Tupperware ini, saya dapat membesarkan anak hingga mereka ke universiti dan kini mempunyai kerjaya masing-masing," katanya dengan gembira.

Memegang jawatan sebagai pengarah eksekutif tidak bermakna wanita ini sudah mampu goyang kaki saja di rumah.

Dia masih turun padang menganjurkan parti serta dua minggu sekali akan ke kawasannya iaitu di Bentong dan Teluk Intan untuk mencari ahli baru.

Menurut Norlia, di bawahnya terdapat seramai 40 pengarah (daripada tahap satu hingga lima) dan 300 ahli secara keseluruhannya.

Katanya, jualan pasukannya sekitar RM180,000 sebulan manakala jumlah yang paling banyak pernah dicatatkan RM243,000 iaitu pada Mac lalu.

"Pihak syarikat mengadakan cabaran untuk mendapatkan jualan RM1.338 juta dalam masa sembilan bulan tetapi saya berjaya melakukannya dalam masa lapan bulan saja.

"Komisen yang paling banyak diterima lebih RM10,000 sebulan.

"Kejayaan itu semua hasil usaha pelbagai peringkat dan bukan saya seorang saja," katanya yang turut memenangi hadiah kereta Toyota Altis atas kecemerlangan berkenaan.

Sementara itu, Norlia berkata, sepanjang menyertai syarikat berkenaan, dia berpeluang melawat ke banyak tempat menarik di seluruh dunia.

Antara tempat yang pernah dilawati Norlia termasuk Istanbul (Turki), Gold Coast (Australia), Beijing (China), Cape Town (Afrika Selatan), Vancouver (Kanada), Dallas (Amerika Syarikat), Phuket (Thailand), Bali (Indonesia), Moscow (Russia), Itali, Switzerland dan Sepanyol.

"Dulu saya tidak pernah bermimpi dapat menjejakkan kaki ke negara berkenaan tetapi siapa sangka, semuanya menjadi kenyataan apabila saya menyertai Tupperware.

"Bagi saya, tiada istilah awal atau lewat untuk mencuba sesuatu kerana semua orang boleh berjaya jika kita berusaha dan jangan berputus asa.

"Selain itu, antara tip yang boleh saya kongsi adalah fokus kepada satu kerja saja dalam satu masa kerana jika fikiran terbahagi kepada dua atau tiga, tidak mungkin kita dapat memberi tumpuan sepenuhnya," katanya yang turut menjadikan Julia Gomes sebagai idolanya.

Notakaki: Sungguh terharu bila Kak Lia dan Abang Salleh sanggup datang ke Parti Tupperware yang pernah saya anjurkan dan sudi berkongsi pengalamannya.
Komitmen beliau terhadap Tupperware sungguh saya tabik dan admire, dan bagi saya itu sudah membuktikan kepimpinan beliau.

3 comments:

  1. terharunya dengar cita ni, tapi semangat dia sangat kuat kn, syabas to Kak Lia dan credit tok Nidza juga semOga sukses dlm business ni!

    ReplyDelete
  2. Syabas kak..contoh sebegini harus dijadikan contoh untuk mereka yang mahu akan kejayaan dalam karear masing2.

    ReplyDelete
  3. zunaida & diaumaininaz: Tq...semoga 2011 ni membuka lembaran baru utk keluarga dan karier saya... Insyaallah...Jadi selalu tau singgah blog ini...

    ReplyDelete

 

© Copyright Tupperwarewithlove - Designed by Krafty Palette