Tuesday, July 24, 2012

|Tupperware bukan hanya bisnes kaum wanita|




ABDUL MAJID SAMAD, 58, kelihatan agak sibuk menguruskan stok-stok Tupperware yang baru diambil dari pejabat stokis. Tiga kotak bersaiz besar itu dibuka dengan berhati-hati agar produk di dalamnya tidak rosak. Kemudian, satu persatu produk Tupperware disusun mengikut senarai tempahan pelanggan.
“Inilah rutin mingguan saya. Sentiasa sibuk dengan pengambilan dan penghantaran barangan Tupperware. Jadual kerja perlu sistematik dan efektif kerana saya tidak mahu pelanggan terpaksa menunggu lama stok barangan mereka.
“Apatah lagi tempahan stok semakin banyak pada bulan Ramadan dan menjelang hari raya,” tutur Abdul Majid mengenai bisnes Tupperware Brands yang diusahakan sejak tahun 2004 bersama isteri, Rohaya Abdul Rahman, 55.
Mengulas mengenai cintanya pada bisnes Tupperware yang dimonopoli oleh golongan wanita, anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan, itu memberitahu semuanya tersemai ketika dia berusia 22 tahun. Pada waktu itu, Abdul Majid hanyalah pengguna setia Tupperware dan sentiasa membeli produk berkenaan daripada kakak iparnya yang merupakan ahli tetap Tupperware Brands.
“Saya tak pernah terfikir untuk menjadi ahli Tupperware kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap di salah sebuah syarikat perumahan dan pemaju. Lagipun membeli barang Tupperware untuk kegunaan peribadi bukan untuk berniaga.
“Namun semuanya berubah ketika mengunjungi pejabat stokis Tupperware Brands di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, untuk membeli botol minuman. Kebetulan pada waktu itu, saya telah bertemu ahli senior, Norlia Ismail, yang beria-ria mengajak saya menjadi ahli supaya menikmati potongan diskaun 30 peratus bagi setiap pembelian barangan Tupperware,” jelas Abdul Majid kepada Kosmo! ketika ditemui di Gombak baru-baru ini.
Peluang berniaga

ORANG ramai kini berpeluang membuat piza dalam tempoh kurang 20 minit dengan menggunakan set piza jenama Tupperware Brands.


Bertitik tolak daripada episod itulah Abdul Majid mula berjinak-jinak menjual Tupperware dalam kalangan teman-teman dan jiran. Pada hujung minggu dia mengambil kesempatan mengadakan parti Tupperware bagi mempromosi produk Tupperware kepada para pelanggan baharu.
Jelas Abdul Majid, dia tidak malu mengendalikan bisnes Tupperware meskipun perniagaan itu sinonim dengan golongan wanita. Lebih mengujakan, bisnes Tupperware mendapat kepercayaan dan sambutan daripada orang ramai kerana produknya yang berkualiti dan tahan lasak.
Dalam pada itu, Salleh Fadhil Abdullah, yang sudah 13 tahun berniaga Tupperware menyifatkannya sebuah peluang perniagaan yang berbaloi dan mendatangkan manfaat kepada orang ramai. Tupperware yang diperkenalkan sejak tahun 1946 oleh Earl Tupper di Florida, Amerikat Syarikat (AS) bukan saja menjanjikan peluang perniagaan yang cerah malah koleksi produk tersebut selamat digunakan oleh semua lapisan masyarakat.
“Orang ramai cenderung membeli botol air dan bekas makanan plastik kerana harganya murah berbanding produk Tupperware yang berharga RM10 ke atas. Tetapi, tahukah anda bekas Tupperware lebih tahan lama kerana diperbuat daripada material tidak bertoksik dan tiada unsur karsinogenik? Lagipun produk Tupperware diiktiraf oleh Food & Drug Administration & Japan Polyolefin Hygienic Assocoation Standart (FDA).
“Penggunaan produk plastik boleh menjejaskan kesihatan terutamanya pada botol atau bekas makanan yang terdedah pada cuaca panas. Tindak balas haba itu akan menghasilkan bahan kimia tertentu yang memberi kesan buruk pada kesihatan,” jelas Salleh sambil menunjukkan botol air Eco Tupperware yang hadir dalam enam warna menarik.
Salleh yang membahagi masa antara karier sebagai akauntan dan bisnes Tupperware menjelaskan, produk terbaharu itu selamat digunakan meskipun ia terdedah pada cuaca panas atau sejuk. Selain koleksi botol Eco Tupperware, Salleh turut menyarankan orang ramai menggunakan set Tapau untuk membungkus makanan berbanding menggunakan polisterin.
Berhenti kerja

LAZIMNYA para pelanggan membuat tempahan Tupperware berdasarkan produk-produk yang dipamerkan dalam katalog.


Sementara itu, Iffa Ismail, 28, yang baru enam tahun melibatkan diri dalam bisnes Tupperware bersyukur dengan rezeki yang dikecapi pada hari ini. Ibu kepada sepasang cahaya mata itu tidak menyangka keputusannya melepaskan jawatan sebagai pegawai bank di salah sebuah bank terkemuka telah membuka laluan rezeki yang lebih lumayan.

Sebelum ini, anak kelahiran Selangor itu kurang yakin pada bisnes Tupperware meskipun ibunya, Norlia Ismail, 52, merupakan salah seorang pengedar Tupperware.

“Pada mulanya saya enggan melibatkan diri dalam perniagaan ini kerana bimbang dengan risiko pasang dan surut berniaga. Sebab itu, saya mengambil keputusan bekerja apatah lagi setiap bulan saya memperoleh gaji tetap.

“Namun, semuanya berubah selepas melihat kejayaan ibu berjaya memperoleh komisen yang tinggi setiap bulan, hasil jualan Tupperware. Selepas berbincang dengan ibu dan mempelajari pelan perniagaan Tupperware, setiap hujung minggu saya ke pasar raya Giant Teluk Intan, Perak untuk membuka kios mini Tupperware dan mencari pelanggan baharu,” jelas Iffa yang kini mempunyai ahli Tupperware dari Perak dan Kuantan, Pahang.

Lebih membanggakan, pada fasa pertama jualan Tupperware, Iffa berjaya mencatat hasil jualan sebanyak RM6,000 dalam masa kurang tiga jam.

Sehubungan itu, bagi memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan Tupperware dan memudahkannya berulang-alik antara Kuala Lumpur, Perak dan Pahang, maka dia mengambil keputusan berhenti kerja. Lebih meyakinkan Iffa apabila dia memperoleh pendapatannya menjual Tupperware yang mencecah sehingga RM4,000, sebulan.

Parti Tupperware
Tambah Iffa: “Rezeki tidak datang bergolek sebaliknya ia memerlukan daya usaha yang tinggi. Sebab itu, saya menyarankan kelompok ibu tunggal ataupun suri rumah berkecimpung dalam bisnes ini untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

PARTI Tupperware telah dipraktikkan selama enam dekad sebagai corak promosi barangan tersebut.


“Bagi mereka yang ingin memahami dengan lebih terperinci mengenai keistimewaan perniagaan Tupperware, bolehlah berjumpa dengan pengedar utama kami dan kami akan menerangkannya di parti Tupperware.
Berbicara mengenai parti Tupperware, Norlia Ismail, 52, memberitahu parti tersebut cukup sinonim dengan jenama Tupperware Brands di serata negara termasuklah di Malaysia.
Sejak pelan berkenaan diperkenalkan oleh Brownie Wise, jurujual wanita legenda dari Florida, Amerika Syarikat yang juga merangkap Timbalan Presiden Tupperware Brands sejak enam dekad lalu populariti produk tersebut semakin meningkat.

“Kewujudan parti Tupperware menambah kepelbagaian pada corak promosi produk ini. Secara tidak langsung pada acara tersebut, mereka yang menghadirinya bukan sekadar membelek katalog malah berpeluang melihat produk dengan lebih dekat dan memahami cara penggunaannya dengan betul.

“Lazimnya, seminggu sebelum parti berlangsung kami terlebih dahulu mengadakan perbincangan bersama tuan rumah atau penganjur parti Tupperware. Dalam diskusi itu, kami menyarankan pihak penganjur memilih set produk untuk dipromosi dan bersesuaian dengan sasaran para tetamu,” terang Norlia yang kini berada pada tahap Pengarah Eksekutif Tupperware ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Norlia yang ditemui di kediamannya di Taman Sri Gombak, Selangor yang pernah mengungguli Anugerah Wanita Inspira Tupperware Brands berkata, pemilihan set produk wajar dititikberatkan bagi mengelakkan tetamu tepu kerana menerima informasi produk yang terlalu banyak.

“Koleksi produk Tupperware terbahagi pada beberapa set. Selain set piza yang membolehkan individu menghasilkan piza dalam tempoh 20 minit dan menyimpan ramuan dalam bekas tertentu, Tupperware Brands turut menampilkan set yang ideal disusun dalam peti sejuk, kabinet dapur ataupun ketika menjalani aktiviti berkelah,” tutur Norlia sambil menguli tepung di dalam bekas Tupperware khas.

Dalam pada itu, jelas Norlia sekiranya pada parti Tupperware berkenaan jualan produk mencecah RM880 maka tuan rumah layak menerima hadiah istimewa daripada pihak Tupperware Brands.


Untuk menjadi ahli Tupperware
call 0172066286

tupperwarewithlove@gmail.com

No comments:

Post a Comment

 

© Copyright Tupperwarewithlove - Designed by Krafty Palette