
ABDUL
MAJID SAMAD, 58, kelihatan agak sibuk menguruskan stok-stok
Tupperware yang baru diambil dari pejabat stokis. Tiga kotak bersaiz
besar itu dibuka dengan berhati-hati agar produk di dalamnya tidak
rosak. Kemudian, satu persatu produk Tupperware disusun mengikut senarai
tempahan pelanggan.
“Inilah rutin mingguan saya. Sentiasa
sibuk dengan pengambilan dan penghantaran barangan Tupperware. Jadual
kerja perlu sistematik dan efektif kerana saya tidak mahu pelanggan
terpaksa menunggu lama stok barangan mereka.
“Apatah lagi
tempahan stok semakin banyak pada bulan Ramadan dan menjelang hari
raya,” tutur Abdul Majid mengenai bisnes Tupperware Brands yang
diusahakan sejak tahun 2004 bersama isteri, Rohaya Abdul Rahman, 55.
Mengulas
mengenai cintanya pada bisnes Tupperware yang dimonopoli oleh
golongan wanita, anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan, itu
memberitahu semuanya tersemai ketika dia berusia 22 tahun. Pada waktu
itu, Abdul Majid hanyalah pengguna setia Tupperware dan sentiasa membeli
produk berkenaan daripada kakak iparnya yang merupakan ahli tetap
Tupperware Brands.
“Saya tak pernah terfikir untuk menjadi ahli
Tupperware kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap di salah sebuah
syarikat perumahan dan pemaju. Lagipun membeli barang Tupperware untuk
kegunaan peribadi bukan untuk berniaga.
“Namun semuanya berubah
ketika mengunjungi pejabat stokis Tupperware Brands di Wangsa Maju,
Kuala Lumpur, untuk membeli botol minuman. Kebetulan pada waktu itu,
saya telah bertemu ahli senior, Norlia Ismail, yang beria-ria mengajak
saya menjadi ahli supaya menikmati potongan diskaun 30 peratus bagi
setiap pembelian barangan Tupperware,” jelas Abdul Majid kepada Kosmo!
ketika ditemui di Gombak baru-baru ini.
Peluang berniaga

ORANG ramai kini berpeluang membuat piza dalam tempoh kurang 20 minit dengan menggunakan set piza jenama Tupperware Brands.
Bertitik
tolak daripada episod itulah Abdul Majid mula berjinak-jinak menjual
Tupperware dalam kalangan teman-teman dan jiran. Pada hujung minggu dia
mengambil kesempatan mengadakan parti Tupperware bagi mempromosi
produk Tupperware kepada para pelanggan baharu.
Jelas Abdul
Majid, dia tidak malu mengendalikan bisnes Tupperware meskipun
perniagaan itu sinonim dengan golongan wanita. Lebih mengujakan, bisnes
Tupperware mendapat kepercayaan dan sambutan daripada orang ramai
kerana produknya yang berkualiti dan tahan lasak.
Dalam pada itu,
Salleh Fadhil Abdullah, yang sudah 13 tahun berniaga Tupperware
menyifatkannya sebuah peluang perniagaan yang berbaloi dan
mendatangkan manfaat kepada orang ramai. Tupperware yang diperkenalkan
sejak tahun 1946 oleh Earl Tupper di Florida, Amerikat Syarikat (AS)
bukan saja menjanjikan peluang perniagaan yang cerah malah koleksi
produk tersebut selamat digunakan oleh semua lapisan masyarakat.
“Orang
ramai cenderung membeli botol air dan bekas makanan plastik kerana
harganya murah berbanding produk Tupperware yang berharga RM10 ke
atas. Tetapi, tahukah anda bekas Tupperware lebih tahan lama kerana
diperbuat daripada material tidak bertoksik dan tiada unsur
karsinogenik? Lagipun produk Tupperware diiktiraf oleh Food & Drug
Administration & Japan Polyolefin Hygienic Assocoation Standart
(FDA).
“Penggunaan produk plastik boleh menjejaskan kesihatan
terutamanya pada botol atau bekas makanan yang terdedah pada cuaca
panas. Tindak balas haba itu akan menghasilkan bahan kimia tertentu
yang memberi kesan buruk pada kesihatan,” jelas Salleh sambil
menunjukkan botol air Eco Tupperware yang hadir dalam enam warna
menarik.
Salleh yang membahagi masa antara karier sebagai
akauntan dan bisnes Tupperware menjelaskan, produk terbaharu itu
selamat digunakan meskipun ia terdedah pada cuaca panas atau sejuk.
Selain koleksi botol Eco Tupperware, Salleh turut menyarankan orang
ramai menggunakan set Tapau untuk membungkus makanan berbanding
menggunakan polisterin.
Berhenti kerja

LAZIMNYA para pelanggan membuat tempahan Tupperware berdasarkan produk-produk yang dipamerkan dalam katalog.
Sementara
itu, Iffa Ismail, 28, yang baru enam tahun melibatkan diri dalam
bisnes Tupperware bersyukur dengan rezeki yang dikecapi pada hari ini.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu tidak menyangka keputusannya
melepaskan jawatan sebagai pegawai bank di salah sebuah bank terkemuka
telah membuka laluan rezeki yang lebih lumayan.
Sebelum ini, anak
kelahiran Selangor itu kurang yakin pada bisnes Tupperware meskipun
ibunya, Norlia Ismail, 52, merupakan salah seorang pengedar
Tupperware.
“Pada mulanya saya enggan melibatkan diri dalam
perniagaan ini kerana bimbang dengan risiko pasang dan surut berniaga.
Sebab itu, saya mengambil keputusan bekerja apatah lagi setiap bulan
saya memperoleh gaji tetap.
“Namun, semuanya berubah selepas
melihat kejayaan ibu berjaya memperoleh komisen yang tinggi setiap
bulan, hasil jualan Tupperware. Selepas berbincang dengan ibu dan
mempelajari pelan perniagaan Tupperware, setiap hujung minggu saya ke
pasar raya Giant Teluk Intan, Perak untuk membuka kios mini Tupperware
dan mencari pelanggan baharu,” jelas Iffa yang kini mempunyai ahli
Tupperware dari Perak dan Kuantan, Pahang.
Lebih membanggakan,
pada fasa pertama jualan Tupperware, Iffa berjaya mencatat hasil
jualan sebanyak RM6,000 dalam masa kurang tiga jam.
Sehubungan
itu, bagi memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan Tupperware dan
memudahkannya berulang-alik antara Kuala Lumpur, Perak dan Pahang, maka
dia mengambil keputusan berhenti kerja. Lebih meyakinkan Iffa apabila
dia memperoleh pendapatannya menjual Tupperware yang mencecah
sehingga RM4,000, sebulan.
Parti Tupperware
Tambah Iffa:
“Rezeki tidak datang bergolek sebaliknya ia memerlukan daya usaha yang
tinggi. Sebab itu, saya menyarankan kelompok ibu tunggal ataupun suri
rumah berkecimpung dalam bisnes ini untuk mendapatkan pendapatan
sampingan.

PARTI Tupperware telah dipraktikkan selama enam dekad sebagai corak promosi barangan tersebut.
“Bagi
mereka yang ingin memahami dengan lebih terperinci mengenai
keistimewaan perniagaan Tupperware, bolehlah berjumpa dengan pengedar
utama kami dan kami akan menerangkannya di parti Tupperware.
Berbicara mengenai parti Tupperware, Norlia Ismail, 52, memberitahu
parti tersebut cukup sinonim dengan jenama Tupperware Brands di serata
negara termasuklah di Malaysia.
Sejak pelan berkenaan
diperkenalkan oleh Brownie Wise, jurujual wanita legenda dari Florida,
Amerika Syarikat yang juga merangkap Timbalan Presiden Tupperware
Brands sejak enam dekad lalu populariti produk tersebut semakin
meningkat.
“Kewujudan parti Tupperware menambah kepelbagaian pada
corak promosi produk ini. Secara tidak langsung pada acara tersebut,
mereka yang menghadirinya bukan sekadar membelek katalog malah
berpeluang melihat produk dengan lebih dekat dan memahami cara
penggunaannya dengan betul.
“Lazimnya, seminggu sebelum parti
berlangsung kami terlebih dahulu mengadakan perbincangan bersama tuan
rumah atau penganjur parti Tupperware. Dalam diskusi itu, kami
menyarankan pihak penganjur memilih set produk untuk dipromosi dan
bersesuaian dengan sasaran para tetamu,” terang Norlia yang kini berada
pada tahap Pengarah Eksekutif Tupperware ketika ditemui Kosmo!
baru-baru ini.
Norlia yang ditemui di kediamannya di Taman Sri
Gombak, Selangor yang pernah mengungguli Anugerah Wanita Inspira
Tupperware Brands berkata, pemilihan set produk wajar dititikberatkan
bagi mengelakkan tetamu tepu kerana menerima informasi produk yang
terlalu banyak.
“Koleksi produk Tupperware terbahagi pada
beberapa set. Selain set piza yang membolehkan individu menghasilkan
piza dalam tempoh 20 minit dan menyimpan ramuan dalam bekas tertentu,
Tupperware Brands turut menampilkan set yang ideal disusun dalam peti
sejuk, kabinet dapur ataupun ketika menjalani aktiviti berkelah,” tutur
Norlia sambil menguli tepung di dalam bekas Tupperware khas.
Dalam
pada itu, jelas Norlia sekiranya pada parti Tupperware berkenaan
jualan produk mencecah RM880 maka tuan rumah layak menerima hadiah
istimewa daripada pihak Tupperware Brands.
Untuk menjadi ahli Tupperware
call 0172066286
tupperwarewithlove@gmail.com